Pengunjung mengambil peluang beriadah dan berbasikal di Taman Botani Negara, Shah Alam susulan pembukaan semula lokasi itu dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sewa serendah RM10, berbasikal antara tumpuan pengunjung Taman Botani

SHAH ALAM, 9 OKT: Berbasikal antara aktiviti kegemaran ramai ketika beriadah di Taman Botani Negara Shah Alam yang dibuka semula sejak kelmarin.

Tanpa perlu berbelanja besar, pengunjung hanya membayar sekitar RM10 ke RM20 untuk menyewa hampir 180 basikal pelbagai jenis yang disediakan.

Pengusahanya Nazrul Hazri Aziz berkata kesemua basikal berada dalam keadaan baik dan diselenggara meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Nazrul Hazri Aziz

Menurutnya, permintaan terhadap alatan itu tidak hanya tinggi pada hujung minggu tetapi turut mendapat sambutan pada hari bekerja.

“Saya menjangka pengunjung ramai pada hari minggu kerana pembukaan taman ini sentiasa ditunggu. Basikal lasak menjadi tumpuan kerana mudah digunakan di kawasan berbukit,” katanya ketika ditemui.

Selain berbasikal, orang ramai turut mengambil peluang berjoging, berjalan kaki dan mengunjungi Taman 1Malaysia, Taman Herba serta Taman Haiwan.

Taman Botani berkeluasan 817 hektar itu dibuka semula setelah ditutup sejak Jun akibat pandemik dengan hanya individu lengkap vaksin dibenarkan masuk.

Pengunjung juga dibenarkan membawa anak-anak berusia 18 tahun ke bawah dan diingatkan supaya mengimbas aplikasi MySejahtera serta mengemas kini status risiko masing-masing.


Pengarang :