Sesi webinar anjuran MBSA bersama beberapa agensi termasuk dari Jerman berhubung penggunaan plastik sekali guna yang diadakan secara dalam talian pada 5 Oktober 2021. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Shah Alam dipilih bandar perintis cegah plastik sekali guna

SHAH ALAM, 6 OKT: Shah Alam dipilih sebagai bandar perintis bagi projek tindakan kolaborasi terhadap pencegahan penggunaan plastik sekali guna di Asia Tenggara.

Pengiktirafan oleh Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) berdasarkan kriteria kesediaan kelompok sasaran, perniagaan, industri dan komitmen kerajaan.

Ketua bahagian korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata pihaknya konsisten mengekang penggunaan plastik sekali guna dalam semua sektor dan kehidupan harian.

“MBSA terlibat secara langsung bagi kempen hindar penggunaan plastik sekali guna di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, kempen bebas plastik serta kempen bebas penyedut minuman plastik.

“MBSA juga mengadakan program pertukaran kitar semula, pengasingan sisa dari rumah dan mewujudkan pusat kitar semula komuniti,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Semalam, MBSA, MGTC dan agensi Jerman Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit menganjurkan webinar pengurangan penggunaan plastik sempena ulang tahun Shah Alam ke-21.

Antara kertas kerja dibentangkan ialah tindakan kolaboratif mencegah penggunaan plastik sekali guna di Asia Selatan dan hala tuju sisa di Shah Alam.


Pengarang :