Selangorkini
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Menurut MCMC, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi. Sebarang laporan dan aduan berhubung penerimaan mesej sedemikian boleh diajukan kepada MCMC melalui talian aduan 1 800 188 030 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 016 2206262. Orang ramai juga boleh membuat aduan berhubung perkara ini dengan menghantar e-mel ke [email protected] atau melayari laman sesawang MCMC https://aduan.skmm.gov.my untuk tindakan susulan. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Sindiket tipu dalam talian catat kerugian RM380 juta

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Sebanyak 15,935 kes penipuan dalam talian dengan nilai kerugian kira-kira RM380 juta direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah (Pengubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata jumlah itu melibatkan antaranya African Scam, Macau Scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan dan e-dagang.

Beliau berkata statistik itu amat merisaukan kerana ia menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang mudah terpengaruh dengan modus operandi sindiket penipuan terbabit dan JSJK mendapati sejak 10 tahun kebelakangan ini, kes melibatkan penipuan dalam talian merekodkan peningkatan sebanyak 60.6 peratus.

“Oleh itu, JSJK akan mengadakan kempen pencegahan jenayah komersial (jenayah dalam talian) mulai 8 November depan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada segenap lapisan masyarakat mengenai modus operandi yang digunakan sindiket penipuan ini untuk menipu mangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata kempen besar-besaran yang akan dilaksana dengan kerjasama syarikat korporat dan badan bukan kerajaan itu diharap berjaya memberikan pendedahan serta ilmu berguna kepada orang ramai bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.

“Semasa kempen berkenaan, orang ramai akan didedahkan dengan kemudahan yang disediakan oleh JSJK kepada masyarakat seperti aplikasi Semak Mule dan talian info JSJK untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :