Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan menyaksikan sesi latihan dan uji cuba peralatan kecemasan sebagai persediaan menghadapi musim monsun timur laut pada 13 Oktober 2021. Foto MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Skuad Pantas MBSJ jalani latihan, siap siaga hadapi bencana

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan latihan dan uji cuba peralatan bantuan kecemasan sebagai persiapan menghadapi musim monsun timur laut.

Uji cuba bot aluminium, bot getah, set jana kuasa dan pam air dilakukan 37 anggota pasukan tindakan segera (Pantas) serta 10 anggota bomba, kata timbalan pengarah jabatan korporatnya.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan aset logistik seperti kenderaan, khemah, dewan dan balai masyarakat yang berpotensi dijadikan pusat pemindahan sementara turut diperiksa.

“Pemeriksaan ini jika berkemungkinan berlaku sesuatu kejadian bencana sekali gus memastikan peralatan berada dalam keadaan siap siaga digunakan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata pihaknya mengaktifkan bilik gerakan bencana di pusat kawalan dan panggilan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam, namun tertakluk arahan Kerajaan Negeri.

“Pusat ini juga sentiasa memantau sistem amaran paras air di empat lokasi dan berkongsi maklumat amaran di platform media sosial MBSJ,” katanya.

Sementara itu, Azfarizal berkata sebanyak 19 titik panas banjir dikenal pasti di kawasan pentadbiran terbabit dan kontraktor digerakkan untuk memastikan sistem saliran diselenggara mengikut jadual.

Untuk rekod, sebanyak 85 kes kecemasan dan bencana berlaku di bawah pentadbiran MBSJ sejak Januari hingga September tahun ini dengan banjir kilat melibatkan 15 kes, tanah runtuh (enam), pokok tumbang (54) serta lain-lain (10).


Pengarang :