AGENDANASIONAL

Subsidi Upah Perkeso selamatkan 2.9 juta pekerja, lebih 300,000 majikan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Kira-kira 2.9 juta pekerja dan lebih 300,000 majikan dapat diselamatkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU) dengan peruntukan berjumlah RM18 bilion yang disalurkan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga kini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata pelaksanaan PSU merupakan satu pendekatan yang amat baik bagi membantu majikan dan pekerja yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amat disambut baik oleh golongan berkenaan.

“Kita lihat sejak PKP pertama sehingga kini, PSU jadi program cukup popular dalam kalangan warga kerja dan industri sehingga permintaan cukup tinggi daripada industri untuk memastikan kerajaan membekalkan peruntukan cukup bagi ketiga-tiga PKP,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PAKATAN-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat berhubung impak peruntukan besar RM18 bilion untuk PSU bagi pekerjaan yang dapat diselamatkan.

Sebelum ini media melaporkan Perkeso membayar lebih RM18 bilion dalam bentuk subsidi upah, elaun pencarian pekerjaan melalui insentif yang disediakan di bawah tujuh pakej rangsangan, setakat 6 September lepas.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berhubung jumlah penganggur, Saravanan berkata Laporan Survei Tenaga Buruh dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada suku kedua tahun ini, kadar pengangguran adalah sebanyak 4.8 peratus iaitu seramai 768,700 orang.

Bagaimanapun Saravanan berkata pada Julai tahun ini, terdapat peningkatan bilangan penganggur seramai 9,500 orang menjadikan jumlah penganggur bersamaan dengan 778,200 orang.

-BERNAMA

 


Pengarang :