Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media berkenaan Selvax Komuniti, penyelenggaraan aset air serta langkah mitigasi kejadian banjir di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 7 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Sukarelawan digerak bantu pengguna ketika kerja selenggara loji rawatan air

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan Selangor sedia menggerakkan kumpulan sukarelawan sepanjang kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 yang bermula pada minggu depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kumpulan berkenaan akan membantu pengguna yang memerlukan bekalan air.

“Sebagai persediaan kita gerakkan sukarelawan peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung.

“Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) juga menggerakkan 105 lori tangki terutama ke hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian selain sediakan 18 pili awam serta empat stesen pengisian air untuk pelanggan komersial,” katanya pada sidang media hari ini.

Baru-baru ini, Air Selangor meminta penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan air secukupnya.

Kerja penyelenggaraan yang dijadual bermula jam 9 pagi pada 13 Oktober dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :