Selangorkini
Sukarelawan Selangor (SERVE) bergotong royong mengangkat bakul makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir dalam misi bantuan mangsa bencana fenomena kepala air di Pasti Nurul Hidayah Kampung Titi Teras, Yan, Kedah pada 1 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan Selangor sasar 3,000 ahli, mantapkan aktiviti kemasyarakatan

SHAH ALAM, 23 OKT: Sukarelawan Selangor (SERVE) menyasarkan 3,000 ahli berdaftar menjelang akhir tahun ini, kata EXCO jaringan kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Danish Hairudin berkata pertambahan ahli di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memudahkan serta memantapkan gerak kerja sekiranya berlaku bencana.

Menurut beliau, kumpulan terbabit mampu menyokong pusat khidmat masyarakat setempat dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

“SERVE adalah platform meneruskan aktiviti sosial bersama masyarakat. Ramai yang berminat dengan cara kerja SERVE terhadap komuniti kerana kita boleh bergerak dalam apa jua situasi musibah.

“Jadi, kita buka ruang kepada orang ramai di Selangor termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menyumbang khidmat bakti. Kita akan bimbing mereka untuk meneroka pengalaman baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara “Kenali SERVE: Sukarelawan Selangor” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Danish berkata SERVE diletakkan bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor sebagai kumpulan sokongan pertama jika berlaku insiden.

Keputusan memasukkan SERVE dalam unit berkenaan dicapai sebaik selesai misi bantuan bencana fenomena kepala air di Yan, Kedah akhir Ogos lalu, jelasnya.

“Hasil perbincangan bersama EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan unit itu, mereka bersetuju meletakkan SERVE dalam kumpulan sokongan. Kami dapat pastikan keselamatan serta keadaan terkawal di lokasi selepas bencana,” katanya.

29 Ogos lalu, hampir 50 ahli SERVE digerakkan ke Yan bagi membantu mangsa bencana kepala air selaras tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

Selain misi berkenaan, SERVE tampil menghulurkan bantuan makanan asas kepada mangsa tanah runtuh di Kemensah Height dan banjir kilat di Selangor.

Malah, sebelum ini pasukan terbabit turut ditempatkan di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi melancarkan operasi suntikan pelalian Covid-19.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

 


Pengarang :