Jemaah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di ruang solat ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Syukur dapat solat Jumaat di Masjid Negeri lepas hampir dua tahun

SHAH ALAM, 15 OKT: Orang ramai bersyukur lebih banyak jemaah dibenarkan kembali menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri di sini selepas hampir dua tahun.

Mohamad Sufi Zainal Ariffin berkata masjid itu sering dikunjunginya sebelum penularan Covid-19 namun terhenti apabila pihak berkuasa mengehadkan bilangan jemaah.

Memahami tindakan tersebut demi menjaga keselamatan, pegawai bank berusia 48 tahun itu sering berdoa keadaan kembali pulih dan dapat memenuhi masjid seperti sedia kala.

Mohamad Sufi Zainal Ariffin

“Bersyukur kerajaan umum tambah kepada 2,000 jemaah, saya berjaya dapat slot setelah memohon melalui aplikasi Masjid Pro. Ini kali pertama saya solat Jumaat di sini selepas hampir dua tahun,” katanya yang menetap di Bukit Bandaraya di sini.

Peniaga makanan Muhammad Izzuddin Zainol Idris, 20, pula seronok melihat keadaan masjid yang kembali ceria dengan kehadiran lebih ramai jemaah walaupun belum mencapai kapasiti penuh.

“Rindu lihat masjid ini dipenuhi orang ramai terutama ketika solat Jumaat dan tarawih. Saya harap jangkitan Covid-19 terus turun supaya kita semua dapat hidup seperti biasa,” katanya.

Pada 13 Oktober, Kerajaan Negeri bersetuju menambah bilangan jemaah bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri kepada 2,000 orang manakala 500 orang bagi solat fardu.

Kelonggaran tersebut khusus untuk jemaah dalam kariah masing-masing yang lengkap vaksin.


Pengarang :