Setiap kopi mempunyai nota rasa (kenal pasti rasa) unik mengikut ladang dan negara penghasil. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Taasub kafein, sanggup beli mesin bancuhan kopi puluhan ribu ringgit

Pernah suatu malam, Afiq Ammar Khan, 33, (kiri) resah tidak tahu hendak berbuat apa. Selepas termenung, beliau kemudian terkenang keenakan kopi di Singapura.

Menetap di Bukit Jelutong, Shah Alam, beliau kemudian membeli tiket kapal terbang ke republik tersebut dan pulang ke tanah air keesokannya. Tentunya selepas menghirup kopi sekurang-kurang secawan.

Memang Afiq peminat tegar minuman berkafein itu. Kalau boleh beliau mahu menikmati aneka rasa kopi di seluruh dunia. Rasanya pasti berbeza. Demi kopi, beliau pernah berkelana ke Thailand, Indonesia dan Australia.

Segala-gala berkaitan minuman itu menggamit perhatiannya. Lebih 30 buku berkaitan kopi termasuk bahan terbitan luar negara ada dalam koleksinya.

Bapa dua anak juga memiliki mesin espresso dan pengisar terpakai bernilai RM25,000 semata-mata mahu menikmati kopi dengan cita rasa sendiri. Peralatan itu dibeli secara ansuran.

Sebenarnya, penanaman kopi di negara ini dibuat Syarikat Hindia Timur Inggeris pada 1779 berdasarkan Jurnal Pakej Teknologi Kopi terbitan Jabatan Pertanian Malaysia pada 2001. Namun, kopi jenis arabika yang dibawa dari benua Afrika tidak menjadi lantaran cuaca kurang sesuai.

Hanya pada 1875, seorang warga British bernama Leonard Wray memperkenal penanaman kopi liberika. Kali ini menjadi. Sejak itu, perusahaan kopi tempatan berkembang. Perlahan-lahan ia meresap dalam budaya tempatan seterusnya mencipta peminat tegar tersendiri.

Afiq Ammar Khan menunjukkan kemahiran membancuh kopi di kediamannya di Bukit Jelutong, Shah Alam ketika ditemu bual SelangorKini. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Rasa berbeza

Afiq antara jutaan penduduk yang taasub. Lulusan Sarjana Muda Sains Bioperubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mula meminati kopi sejak berusia 13 tahun, gara-gara ibu saudaranya tersilap menghidangkan minuman itu ketika sarapan.

Sejak itu, beliau memulakan pagi dengan kopi tetapi hanya menjadi pengemar tegar mulai 2013. Sejak berusia 24 tahun, Afiq sering ke kafe hanya untuk mencicip kopi.

Perbezaan rasa di setiap kafe menumbuhkan lagi minatnya terhadap minuman itu. Beliau mengumpul duit untuk ke luar negara untuk menghayati budaya minum kopi.

“Minum kopi gaya moden memang hobi yang mahal. Biji kopi juga mahal, kadang kala harga biji kopi seberat 200 gram boleh sampai RM300 tetapi boleh buat untuk 10 cawan sahaja.

“Ada juga biji kopi dari ladang terkenal dijual secara lelong dan harganya boleh mencecah jutaan ringgit,” kata bekas pengajar barista swasta kepada Selangorkini sempena Hari Kopi Sedunia yang dirai pada 1 Oktober.

Pada 2019, beliau juga ada membuka kafe kopi bersama rakan kongsi tetapi terpaksa ditutup setahun kemudian ekoran perniagaan terjejas teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Sejak itu, beliau menjadi ‘home barista’, menjual dalam talian kepada pelanggan tetap.

Muhammad Hussaini Khairudin berpeluang mencuba kopi di serata dunia. Setakat ini, kopi 25 negara telah dicicipnya. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kunjungi 25 negara

Seorang lagi penggemar tegar Muhammad Hussaini Khairudin, 35, menyukai minuman itu ketika belajar di Universiti Putra Malaysia pada 2009. Minatnya itu didorong keenakan kopi yang dibawa rakan berasal dari Yaman.

Ketika masih bertugas di sebuah agensi pelancongan, beliau berpeluang mencuba kopi di serata dunia. Setakat ini, kopi 25 negara telah dicicipnya.

Beliau mendapati setiap negara ada keunikan tradisi minuman itu. Di Istanbul, Turki, misalnya, kopi dihidang menggunakan teko tembaga kecil, bahagian bawahnya digesel-gesel atas pasir panas.

“Di Arab Saudi pula mereka campurkan dengan beberapa herba dan diminum sambil duduk di lantai,” katanya.

Kopi panas dalam tin pula banyak dijual melalui mesin layan diri di Jepun. Antaranya Kopi Wanda yang turut dijual di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman bapa tiga anak itu, kopi Brazil pula berasa kacang manakala di Indonesia ada kopi berasa buah nangka, manggis dan raspberi.

“Kopi berasa buah di Indonesia adalah semula jadi. Rasa setiap kopi ditentukan kaedah yang dinamakan nota rasa. Setiap kopi ini mempunyai nota rasa (kenal pasti rasa) unik mengikut ladang dan negara penghasil. Sebab itulah ada kopi dari ladang tertentu yang harganya tinggi,” kata Muhammad Hussaini.

Minat terhadap kopi juga mendorong beliau dan beberapa rakan berkongsi membeli mesin espresso dan pengisar berharga RM24,000 untuk diletak di pejabat.

Sejak agensi pelancongan tempatnya bekerja tidak beroperasi mulai Mac 2020, mereka menjadikan minat itu untuk menampung hidup dengan menghasilkan produk kopi botol jenama Celsius Coffee.


Pengarang :