Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sesi Townhall Belanjawan Negeri Selangor 2022 di Hotel Wyndham, Klang pada 9 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tabung Warisan Anak Selangor ditambah baik, sedia pakej biasiswa, kesihatan

KLANG, 10 OKT: Inisiatif Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) bakal dikembalikan demi jaminan anak-anak pada masa depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sudah menyediakan pakej-pakej pelaburan bagi menambah baik inisiatif tersebut.

“Masa kita laksanakan pada 2008, kita beri jaminan RM1,500 kepada penerima tetapi selepas beberapa tahun kita terpaksa hentikan sementara kerana kita tidak dapat sediakan peruntukan seperti dijanjikan.

“Kerajaan Negeri percaya boleh kembalikan Tawas tetapi kena cantumkan dengan biasiswa pelajaran dengan pakej kesihatan pada generasi masa depan,”katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat Belanjawan Selangor 2022 membabitkan pimpinan komuniti Selangor di Hotel Wyndham di sini hari ini.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat. Permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.


Pengarang :