Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sesi Townhall Belanjawan Negeri Selangor 2022 di Hotel Wyndham, Klang pada 9 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tambah baik pengurusan rumah pekerja, cegah wabak merebak

KLANG,10 OKT: Kerajaan Negeri menumpukan projek membina perumahan pekerja yang mempunyai sistem ventilasi lebih baik dalam Belanjawan 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perumahan pekerja yang mempunyai aliran udara dan pengurusan baik dapat mencegah berlaku perebakan pandemik.

“Kita memberi tumpuan bagaimana untuk mengujakan ekonomi dan antara salah satu projek ialah perumahan pekerja. Ini isu penting kerana banyak tempat tidak mempunyai sistem udara baik dan pekerja berkumpul dalam satu premis.

“Di Lembah Klang terdapat hampir satu juta pekerja asing dan jika dapat disediakan 20 peratus atau 200,000 perumahan dengan sistem ventilasi yang teratur,” katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat Belanjawan Selangor 2022 membabitkan pimpinan komuniti Selangor di Hotel Wyndham di sini semalam.

Amirudin berkata situasi penempatan pekerja yang tidak mempunyai aliran udara baik jelas bertentangan dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kita akan kenal pasti tanah-tanah tertentu dan sediakan penempatan pekerja asing dan tempatan supaya mereka dapat perumahan lebih baik.

“Ini digerakkan Kerajaan Negeri selain memenuhi Akta 446 dan juga memberi ruang dan keadaan sosial lebih baik,”katanya.


Pengarang :