Kawasan projek pengindahan titik panas sampah longgok di Taman Daya Kepong, Selayang kembali dipenuhi sisa sampah pukal dan industri. Foto MPS
PBTSELANGOR

Tapak sampah longgok dibersihkan seminggu lalu kembali dilambak sisa industri

SHAH ALAM, 7 OKT: Tidak sampai seminggu dibersihkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), tapak sampah longgok di Taman Daya Kepong kembali dipenuhi sisa pukal dan industri.

Keadaan itu dikesan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kelmarin sebelum menjalankan pembersihan semula, menurut pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad memaklumkan usaha melestari dan mengindahkan kawasan menjadi sia-sia apabila individu tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu.

Timbalan Yang Dipertua MPS Cheremi Tarman (tengah) menyiram pokok sempena program pengindahan titik panas sampah longgok di Taman Daya Kepong, Selayang pada 29 September 2021. Foto MPS


“MPS amat kesal dengan tindakan individu tidak mempunyai kesedaran sivik yang jelas tidak menghargai inisiatif dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran bersih dan indah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap isu itu tidak berulang selain menyaran orang ramai menjadi mata dan telinga dengan melaporkan perbuatan pembuangan sampah longgok di kawasan awam.

Pada 29 September lalu, MPS dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) melaksanakan projek pengindahan titik panas sampah longgok bagi melestarikan kawasan berkenaan.

Program pengindahan tersebut menggunakan tayar terbuang untuk dijadikan landskap kejur bagi menghalang aktiviti lambakan sampah pukal tidak terkawal. 


Pengarang :