Sukarelawan Team Selangor mengangkat air minuman untuk diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Melati Taman Bukit Subang, Sungai Buloh pada 14 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Team Selangor gerak 200 sukarelawan agih air kepada penduduk

SUNGAI BULOH, 14 OKT: Seramai 200 sukarelawan Team Selangor mengagihkan botol air minuman kepada penduduk di 27 lokaliti dalam 12 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tumpuan diberikan kepada penghuni yang uzur dan kurang berkemampuan seperti warga emas dan orang kelainan upaya, kata ketua unit pengurusan sukarelawannya.

“Team Selangor bekerjasama dengan persatuan penduduk dan badan pengurusan bersama (JMB) bagi mengesan status kawasan masing-masing,” kata Muhamad Haziq Fikri Jasni.

Agihan hari ini melibatkan penduduk Pangsapuri Melati dan Pangsapuri Lili, Taman Bukit Subang.

Pada Khamis, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor sedia menggerakkan sukarelawan sepanjang penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1.

Kerja dikendalikan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :