Kakitangan Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tempoh bekalan air pulih ikut jarak premis, jajaran paip (VIDEO)

SHAH ALAM, 14 OKT: Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terlibat dengan penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 bergantung kepada empat faktor utama.

Ia melibatkan aspek tekanan air pada sistem agihan, muka bumi, jarak jajaran paip serta lokasi premis pengguna, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Dalam paparan video ringkas di Twitter rasminya, syarikat pengurusan air itu berkongsi proses pemulihan dari sumber air di sungai, loji rawatan dan kolam imbangan.

Ia seterusnya ke kolam terminal, rumah pam dan tangki menara sebelum sampai kepada pengguna.

Air Selangor turut menasihatkan pengguna yang mendapat bekalan supaya menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan lancar seperti dijadualkan.

Pagi tadi, Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka bekalan air pulih berperingkat bermula 5 petang ini.

Kerja penyenggaraan sejak semalam melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :