Petugas memantau pergerakan trafik terowong Lebuhraya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) pada 7 November 2019. Foto Facebook SMART Tunnel
AGENDANASIONAL

Terowong SMART siap siaga hadapi perubahan monsun

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pihak terowong Lebuhraya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) melakukan pemeriksaan dan pemantauan yang menyeluruh terhadap pintu kawalan banjir, pintu kawalan jalan raya dan semua pintu kedap air dalam bersiap siaga menghadapi perubahan angin monsun yang menyebabkan hujan lebat berlaku tanpa dijangka.

Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya SMART Mohd Noor Mohd Ali berkata pemeriksaan itu dilakukan pada 20 Okt lepas semasa Ujian Bulanan Terowong SMART.

“Ia bertujuan bagi memastikan sistem banjir pada terowong berada dalam keadaan yang baik dan mengikut keperluan yang ditetapkan meliputi pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap sistem pam terowong SMART secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan SMART sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi perubahan angin monsun itu dan ujian bulanan serta pemeriksaan sistem terowong secara menyeluruh adalah bertujuan menguji tahap kecekapan anggotanya selain memastikan aset dalam keadaan baik.

Mohd Noor berkata peranan utama SMART adalah untuk mengurangkan masalah banjir di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur terutamanya di hab perniagaan utama di kawasan berhampiran pertemuan Sungai Klang dan Sungai Ampang.

“SMART dibina dengan tujuan melencongkan air berlebihan dari hulu Sungai Ampang dan Sungai Klang sebelum ia menyebabkan berlakunya banjir di sekitar pusat bandar di Jalan Tun Perak, Jalan Melaka, Leboh Ampang, Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

“SMART juga berkomunikasi secara konsisten dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan sungai di sekitar Lembah Klang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :