Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam yang dibuka semula kepada pengunjung mulai 1 Oktober 2021. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tiga muzium negeri dibuka semula, pelawat digalak buat janji temu

SHAH ALAM, 2 OKT: Tiga muzium dan satu monumen di negeri ini dibuka semula kepada pengunjung sejak semalam setelah Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Muzium berkenaan ialah Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam, Muzium Kuala Selangor, Muzium Jugra dan Istana Bandar, Banting, menurut Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).

Pegawai penerangannya berkata kapasiti bagi pengunjung di setiap muzium seramai 15 orang manakala 50 individu dibenarkan melawat monumen pada satu-satu masa.

“Kita menggalakkan pelawat membuat janji temu berbanding hadir terus. Mereka tetap boleh melawat tanpa janji temu tetapi bergantung kehadiran pelawat ketika itu dan perlu menunggu giliran,” kata Farhani Shamsudin.

Beliau berkata semua lokasi berkenaan dinyahkuman sebelum dibuka kepada umum dan mereka yang ingin membuat janji temu boleh menghubungi Unit Perhubungan Awam Padat di talian 03-55190050.

Kerajaan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) fasa satu PPN bagi industri kreatif untuk individu lengkap divaksin mulai 9 September.


Pengarang :