EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika melawat tapak cadangan pembinaan jambatan kedua Sungai Air Tawar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 18 Oktober 2021 di Kampung Datuk Hormat Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tiga projek infrastruktur bernilai lebih RM72 juta di Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 19 OKT: Kerajaan Negeri melaksanakan tiga projek bernilai lebih RM72 juta demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di daerah ini.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata projek naik taraf Jalan Semenanjung Bernam 3 ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) sepanjang dua kilometer (km) siap sepenuhnya Mac tahun ini.

Ir Izham Hashim menjelaskan penyerahan projek terbabit kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) juga telah dilaksanakan akhir September lalu.

“Skop kerja projek berkenaan meliputi penjajaran semula jalan sedia ada dan membina longkang tanah tepi jalan selain menaik taraf sistem perparitan serta pengalihan utiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak cadangan projek pembinaan Jambatan Sungai Bernam kedua yang menghubungkan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang di sini semalam.

Sementara itu, Ir Izham berkata kerja menambah baik Jalan Sungai Panjang dari persimpangan Jalan Kuala Selangor ke Parit Empat Timur kini di peringkat reka bentuk serta penyediaan pelan pengambilan tanah.

Menurutnya, projek itu meliputi pengalihan utiliti, naik taraf lima persimpangan, sistem perparitan dan pemasangan lampu jalan sepanjang 3.5 km.

Beliau turut memaklumkan penaik tarafan Jambatan Bagan Sungai Besar di Jalan Sungai Limau Dua ke Jalan Panchang Bedena sepanjang 200 meter dijangka bermula pada 2023.

“Pelaksanaan projek ini mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pekan Sungai Besar terutama pada waktu puncak sekali gus menjamin keselamatan pengguna dengan menyediakan laluan selamat,” katanya.


Pengarang :