AGENDAGLOBAL

Tiga rakyat Thailand terlibat penemuan kubur Wang Kelian ditahan

BANGKOK, 29 OKT: Tiga rakyat Thailand yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia berhubung kes pemerdagangan orang dan penemuan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 ditahan baru-baru ini dan mereka kemungkinan akan diekstradisi ke Malaysia.

Suspek pertama ditahan pada 21 Okt manakala dua lagi ditahan lima hari kemudian.

Jurucakap Pejabat Peguam Negara (OAG) Thailand, Prayuth Phetkhun berkata ketiga-tiga mereka adalah antara sembilan anggota kumpulan pemerdagangan orang, kesemuanya rakyat Thailand termasuk seorang wanita, dikehendaki pihak berkuasa Malaysia berhubung tragedi sedih di Wang Kelian itu.

Beliau berkata pada awal 2017 penyiasat Malaysia meminta pihak berkuasa Thailand mengekstradisi suspek ke Malaysia untuk dibicarakan.

“Mahkamah Jenayah mengeluarkan waran tangkap ke atas sembilan suspek dan tiga telah ditahan.

“Pihak pendakwa telah meminta mahkamah mempertimbangkan untuk ekstradisi seorang daripada suspek dan akan mendapatkan prosiding ekstradisi terhadap dua lagi suspek sebaik sahaja mereka diserahkan oleh polis,” katanya kepada Bangkok Post.

Sementara itu, pendakwa raya yang bertanggungjawab ke atas kes ekstradisi itu, Thirach Limpaya-raya berkata proses berkenaan mungkin mengambil sedikit masa.

“… jika mahkamah memutuskan untuk mengekstradisi, suspek boleh merayu,” katanya.

Pada 2015, piihak berkuasa di sempadan kedua-dua negara dikejutkan dengan penemuan kubur besar dan kem penempatan sementara di Wang Kelian yang didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti pemerdagangan orang. Rentetan daripada penemuan itu 44 orang telah ditahan.

Di Thailand, mahkamah jenayah menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun kepada bekas jeneral tentera, Manas Kongpan atas pelbagai pertuduhan termasuk pemerdagangan orang, penyeludupan pendatang tanpa izin dan jenayah terancang pada 2017.

Selain Manas, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Jabatan Penjara di Bangkok pada Jun, mahkamah jenayah turut menjatuhkan hukuman kepada 62 lagi yang lain. Antaranya bekas datuk bandar sebuah daerah kecil di selatan wilayah Songkhla, Banjong Pongphon yang dijatuhi hukuman penjara 78 tahun. Turut disabitkan bersalah ahli perniagaan dan bekas ketua pentadbiran wilayah Satun, Pajjuban Angchotephan yang dijatuhi hukuman penjara 75 tahun.

-BERNAMA


Pengarang :