Kakitangan LUAS meletakkan beg serbuk karbon teraktif di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
EXCOSELANGOR

Tindakan pantas LUAS kekang risiko henti tugas LRA Rantau Panjang

SHAH ALAM, 14 OKT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan insiden pencemaran di Sungai Gong, Rawang semalam berjaya mengelak henti tugas loji rawatan air (LRA) utama.

Insiden dikesan pagi semalam susulan kebakaran melibatkan sebuah kilang gudang plastik di Sungai Bakau yang selesai dipadamkan jam empat petang, kata EXCO alam sekitar.

Dalam kenyataan hari ini, Hee Loy Sian berkata air daripada sisa pemadaman itu didapati memasuki saluran longkang berhampiran dan mengalir ke Sungai Gong.

“LUAS mengaktifkan kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan menyeluruh yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Rantau Panjang.

“Anggaran jarak lokasi insiden ke muka sauk Rantau Panjang sekitar 13km dengan tempoh perjalanan sembilan jam untuk pencemaran sampai ke kawasan tersebut,” katanya.

Susulan itu, Loy Sian berkata LUAS meletakkan tujuh beg serbuk karbon teraktif di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai kawalan pencegahan pencemaran.

Agensi itu juga mengaktifkan operasi pengepaman air kolam di Bestari Jaya dan HORAS 600 dengan jumlah kapasiti 1070 juta liter sehari bagi meningkatkan faktor pencairan sungai.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dengan pemantauan statik di Sungai Sembah juga dilaksanakan oleh LUAS.

“Sehingga jam 9.30 malam semalam, bacaan bau di LRA adalah sifar ton dan tiada gangguan kepada operasi LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3,” katanya lagi.

 


Pengarang :