Dato’ Hasan Azhari Idris becakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 12 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tumpu sektor aeroangkasa, peluang kerja rakyat tempatan

SHAH ALAM, 13 OKT: Peluang kerja dalam sektor aeroangkasa, pengilangan dan elektronik untuk rakyat tempatan antara tumpuan Jelajah Selangor Bekerja 2021 hujung bulan ini.

Bakal dianjurkan secara hibrid, senarai syarikat terlibat dalam program itu sedang dikenal pasti Invest Selangor Berhad selaku penganjur bersama, kata ketua pegawai eksekutifnya.

“Kalau kita lihat sekarang kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing, jadi kita harap rakyat tempatan ambil peluang yang selama ini dimonopoli golongan itu,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris.

Beliau bercakap pada pelancaran Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Hasan berkata pihaknya juga akan menganjurkan Pameran Penerbangan Selangor 2021 di Subang SkyPark Regional Aviation Centre mulai 25 hingga 27 November.

“Kita akan bekerjasama dengan pengurusan sumber manusia dan majikan sektor aeroangkasa untuk buka peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Agensi penggalak pelaburan negeri itu buat julung kalinya bekerjasama dalam jelajah enam siri bermula 23 Oktober hingga 27 November.

Berikut tarikh dan lokasi jelajah:

1. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (23 Oktober)

2. Stadium Tertutup, Kuala Selangor (30 Oktober)

3. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)

4. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)

5. Dewan Meranti, Paya Jaras (20 November)

6. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)


Pengarang :