Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin hadir pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 6 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Undi 18: Pendaftaran automatik, termasuk individu di luar negara

SHAH ALAM, 6 OKT: Individu berusia 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi apabila penguatkuasaan undang-undang dibuat, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata penguatkuasaan turut melibatkan individu berada di luar negara walaupun tidak berdaftar sebagai pemilih.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik. Segala maklumat warganegara turut didaftarkan dan kalau ikut undang-undang termaktub tiada yang terkecuali.

“Pendaftaran automatik yang akan dilaksanakan pada 31 Disember ini bersandarkan keputusan Mahkamah Kuching,” katanya pada sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat,” hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, pilihan raya akan menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bermula Februari tahun depan.

Untuk itu, SPR akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini dan digunakan awal tahun hadapan.

Awal September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

 


Pengarang :