Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas melawat pameran kerjaya Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 23 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Undi 18: Selangor pinda undang-undang tubuh pada sidang Dewan Negeri

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Selangor akan meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk membolehkan warganegara berusia 18 tahun mengundi pada pilihan raya akan datang.

Pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) mulai 26 November yang turut membabitkan pembentangan Belanjawan 2022, kata EXCO generasi muda.

“Kita fokus kepada undi 18 berkaitan Undang-Undang Tubuh Negeri selain Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor untuk meletakkan persatuan belia negeri ini ditadbir bawah satu pergerakan.

“Ini yang kita akan fokus bawah generasi muda pada sidang nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman selepas meninjau program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pilihan raya menggunakan sistem had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik mulai Februari 2022.

Untuk itu, Suruhanjaya Pilihan Raya akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini dan digunakan awal tahun hadapan.

Wan Junaidi juga dilaporkan berkata lima negeri belum membuat pindaan untuk membolehkan warganegara berumur 18 tahun mengundi atau menjadi calon Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya.


Pengarang :