Sebahagian ibu bapa membawa anak mendaftar bagi menerima suntikan pelalian Covid-19 ketika progam vaksinasi remaja dan murid berkeperluan khas daerah Kuala Selangor di Stadium tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vaksin Selangor untuk remaja mula Ahad, babit lebih 3,000 pelajar

SHAH ALAM, 22 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja untuk individu berusia 12 hingga 17 tahun dijalankan mulai Ahad ini melibatkan 3,416 pelajar, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jumlah setakat ini membabitkan 1,235 pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (1,181) dan maahad tahfiz (1,000).

“Inisiatif mempercepatkan vaksinasi remaja serta melancarkan proses pembukaan institusi pendidikan akan bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran bertempat di Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya, Klang.

“Program juga dilaksanakan di beberapa lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) antaranya DUN Pelabuhan Klang, Tanjung Sepat dan Bukit Lanjan dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya menerusi kenyataan.

Amirudin berkata program menggunakan kaedah pra-pendaftaran melalui kod baucar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) seperti dilaksanakan untuk Selvax Komuniti.

Sebelum ini EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkongsikan cara pra-pendaftaran. Proses seperti berikut:

1. Muat turun aplikasi SELangkah
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan butang ‘Temujanji’
4. Tekan butang ‘Semak temujanji’
5. Tekan kotak berwarna ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Pilih ‘Tarikh’

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat minggu lalu.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :