Dr Ong Kian Ming bercakap kepada media selepas lawatan ke kilang Ligno Biotech Sdn Bhd di Perindustrian Balakong Jaya pada 22 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wakil rakyat Bangi positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming diuji positif Covid-19 pada Isnin.

Melalui Twitter, Ong berkongsi berita tersebut setelah memperoleh keputusan ujian kendiri pada 3.30 petang tadi dan perkara itu disahkan sekali lagi selepas keputusan ujian PCR sejam kemudian.

“Saya tidak mengalami sebarang gejala. Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari. Akan meluangkan masa sejam berikutnya untuk memaklumkan perkara ini kepada kontak rapat saya,” katanya.

Menurut Ong, beliau diuji negatif pada Rabu lepas di Parlimen dan tidak pasti bagaimana beliau boleh dijangkiti wabak berkenaan.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata tiada individu di Parlimen diuji positif Covid-19 pada sesi yang sedang berlangsung hari ini.

Semua yang hadir ke Parlimen termasuk ahli parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen Saliva secara rawak pada setiap Isnin dan Rabu.

Langkah itu sebahagian daripada tatacara operasi piawai (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat.

-BERNAMA

 


Pengarang :