Dato ‘ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor ketika sesi Townhall Belanjawan Negeri Selangor 2022 di Hotel Wyndham, Klang pada 8 Oktober 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wakil rakyat cadang tambah baik inisiatif untuk rakyat

SHAH ALAM, 9 OKT: Ahli Dewan Negeri Seri Setia berharap Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan 33 kemudahan kepada penduduk ditambah baik supaya lebih ramai memperoleh manfaat.

Halimey Abu Bakar juga meminta Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menambah peruntukan sedia ada untuk sesebuah inisiatif berkenaan jika tidak mencukupi.

“Kalau peruntukan habis untuk sesebuah skim, kerajaan perlu pertimbang tambah sedikit hingga hujung tahun,” katanya dalam Sesi Townhall Belanjawan 2022 di sini semalam.

Sesi itu membabitkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin, Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor (BBC) dan pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki pula membawa isu pemulihan ekonomi, aktiviti belia melibatkan pengundi baharu dan usaha memperkasa wanita.

“Ketiga-tiga isu tersebut penting. Ini juga peluang untuk memulihkan situasi ekonomi terutama dalam DUN Balakong.

“Biarpun pendapatan Kerajaan Negeri kurang berbanding tahun-tahun lalu tetapi penting untuk beri bantuan dan peruntukan kepada sektor utama,” katanya.

Wakil rakyat DUN Sentosa Dr Gunaraj George pula mencadangkan penganjuran kempen Selangor bersih dan hijau dalam menangani masalah sampah.

“Selangor negeri membangun dengan pesat tetapi ada masalah seperti sampah. Jika tidak ditangani, ia bawa tanggapan kepada masyarakat yang kita tidak mampu tangani,”katanya.

Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa Suzana Shaharudin pula mengambil peluang memberi cadangan supaya diwujudkan kursus pensijilan kepada golongan menjaga kanak-kanak hingga berusia empat tahun.

“Kerajaan Negeri diharap dapat pertimbang dan melakukannya di setiap DUN kerana kursus ini bagus untuk perkembangan kanak-kanak sebelum memasuki persekolahan.

“Saya juga berharap belanjawan dapat memfokuskan kepada wanita, belia dan kanak-kanak,”katanya yang pertama kali menyertai sesi itu.


Pengarang :