Pada konvokesyen ke-26 MSU, seramai 1,769 graduan daripada 87 program pengajian diraikan selama dua hari bermula 22 FEB 2020. Foto: FACEBOOK MSU
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat harap lebih banyak dana perkasa ekonomi anak muda

KAJANG, 27 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong berharap lebih banyak dana diperuntukkan bagi memperkasa ekonomi anak muda dalam Belanjawan Selangor 2022.

Wong Siew Kii berkata perkara itu wajar dipertimbangkan berikutan ramai graduan gagal mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian di universiti sekali gus tiada sumber pendapatan.

“Saya cadangkan supaya program bantuan bakul makanan dikurangkan sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha membantu ekonomi golongan muda terutama graduan.

“Sebagai contoh, rakyat sekarang tidak lagi memerlukan ikan tetapi joran. Dengan adanya joran, mereka boleh tangkap sendiri ikan tersebut. Jadi selepas ini mereka mampu berdikari dan cari wang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di pejabat pusat khidmatnya di sini hari ini.

Siew Kii menambah anak muda juga perlu diberi peluang dalam pasaran kerja supaya mampu menonjolkan potensi selain mencari pengalaman.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan semua wakil rakyat negeri ini terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022 yang diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

Pembentangan belanjawan negeri akan dibuat Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November.

 


Pengarang :