Petugas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga menempatkan tangki air di kawasan sekitar DUN berkenaan pada 12 Oktober 2021 bagi kemudahan orang ramai. Foto Facebook Rodziah Ismail
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wakil rakyat sedia tangki air demi kemudahan penduduk

SHAH ALAM, 13 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga menyediakan tangki air pelbagai saiz di lapan lokasi berbeza untuk kemudahan penduduk.

Lokasi tangki ditempatkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut adalah Seksyen 19/3; Seksyen 19/15; Seksyen 18/3; Seksyen 18/43, Seksyen 17; Seksyen 20; Jalan Kundang Padang Jawa dan Jalan Mat Raji.

Rodziah Ismail berkata enam tangki air setiap satu berkapasiti 2,730 liter dan dua tangki putih 1,000 liter serta dua tangki bergerak disediakan untuk kemudahan orang ramai.

“Keseluruhan jumlah yang disediakan 20,380 liter dan bekalan air sentiasa ditambah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor),” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin memaklumkan persatuan penduduk boleh membuat permohonan di pejabat DUN bagi mendapatkan tangki air di kawasan mereka.

“Namun dengan syarat persatuan penduduk mempunyai tempat simpanan khas kerana tangki air itu diberikan terus untuk kemudahan pada masa depan.

“Setakat ini dua tangki berkapasiti 2,600 liter setiap satu diberikan kepada penduduk di Damansara Jaya Residents and Owners Association,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (kanan) melihat kerja menurunkan tangki air oleh pekerja terlibat di DUN itu pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) hari ini setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang esok, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com .

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com .


Pengarang :