Lau Weng San (kiri) menyampaikan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma kepada seorang penerima di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Banting pada 26 Oktober 2021. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat terus agih bantuan makanan kepada penduduk Banting

BANTING, 26 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting masih menggerakkan bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata buat masa ini pihaknya sudah mengagihkan lebih 1,000 bakul makanan kepada penduduk sejak awal tahun ini.

“Bantuan diagihkan kepada golongan berkaitan tidak hanya fokus kepada barangan itu tetapi peralatan pembelajaran juga diberikan.

“Setakat ini kita sudah membelanjakan lebih RM3,000 untuk membeli peralatan antaranya buku, pensel dan pembaris,” kata Lau Weng San.

Terdahulu, beliau menyerahkan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma dilengkapi data internet 15 gigabit (GB) kepada 77 penerima yang layak di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Banting di sini hari ini.

Dalam pada itu, Weng San memaklumkan pihaknya turut mengagih lebih 50 peranti untuk kelengkapan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Agihan peranti seperti gajet dan komputer riba adalah sumbangan individu, PKM, Penggerak Belia Selangor, ahli majlis dan peruntukan sendiri.

“Selain memberi peranti baharu kita juga memperbaiki kelengkapan pembelajaran penduduk yang masih boleh digunakan. Kita menghargai ibu bapa yang mementingkan pendidikan anak-anak walaupun ekonomi terjejas akibat pandemik,”katanya.


Pengarang :