Penduduk setempat mengambil bekalan air dari lori Air Selangor di Bandar Putera, Klang pada 14 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas syukur terima bantuan botol air minuman

KLANG, 14 OKT: Bantuan botol air minuman lima liter sumbangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kepada penduduk Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera dapat melancarkan rutin harian mereka.

Seorang warga emas, Muhammad Fadzir Razali, 65, ketika ditemui bersyukur menerima bekalan air yang sedikit sebanyak dapat menambah tadahan sedia ada yang semakin berkurang.

“Sebotol air itu disifatkan cukup dan membantu urusan harian seperti makan, mandi dan solat.

Muhammad Fadzir Razali, 65

“Terima kasih Kerajaan Negeri. Saya harap sumber air juga cepat sampai ke pangsapuri kami,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang lagi penduduk Irnawati Hasan, 48, bersyukur menerima sebotol air minuman dan tiga tong air tadahan dari lori tangki yang dapat membantu dia meneruskan perniagaan.

“Saya meniaga nasi lemak di bawah rumah, Alhamdulillah hari ini ada bantuan air setidaknya dapat membantu saya membuat nasi lemak dan beberapa urusan harian lain sementara sumber air sampai sepenuhnya ke pangsapuri ini,” katanya.

Hari ini, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim mengagihkan 1,000 botol minuman lima liter kepada penduduk di kawasan tersebut.

Penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan semalam setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Irnawati Hasan, 48

Susulan itu, 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Setakat jam 7 petang hari ini, Air Selangor memaklumkan beberapa kawasan berdekatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 1(SSP1) mula terima bekalan air.

 


Pengarang :