Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (kanan) beramah mesra dengan para pengunjung semasa melakukan tinjauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sekitar Pantai Bagan Lalang pada 18 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Waspada air pasang besar, elak aktiviti di Pantai Bagan Lalang

SHAH ALAM, 31 OKT: Orang ramai dinasihat untuk tidak melakukan sebarang aktiviti riadah atau rekreasi di Pantai Bagan Lalang, Sepang susulan fenomena air pasang besar yang diramal Rabu ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkata fenomena berkenaan menyebabkan paras air meningkat antara 5.2 hingga 5.6 meter yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Menurut Zulnaidy Zulkifli sekitar kawasan Sungai Sepang, Jeti Bagan Lalang dan Jeti Sirip Biru antara lokasi dijangka bakal berlaku limpahan.

“Kita nasihat orang ramai supaya tidak mendekati kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“MPSepang sudah mengerakkan skuad pantas untuk memantau kawasan berisiko terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali memaklumkan fenonema air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November depan.

Beliau dilaporkan berkata fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Kawasan terbabit di Selangor adalah Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Pengarang :