Anggota bomba melakukan operasi menyelamat 11 individu yang terkandas di kawasan air terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali menghala ke Genting pada 22 November 2021. Foto JBPM
AGENDANASIONAL

11 individu terkandas insiden kepala air di Sungai Pinang

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 11 individu terkandas dalam insiden kepala air di kawasan air terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali menghala ke Genting petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam.

Menurutnya, seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di tempat kejadian jam 7.40 malam didapati berlaku kejadian kepala air di Sungai Pinang susulan hujan lebat.

“Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat kerana berlindung di pondok yang mempunyai bekalan elektrik,” katanya dalam kenyataan.

Norazam turut memaklumkan identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi menyelamat sedang dijalankan.


Pengarang :