ADNSELANGOR

1,331 ahli SMUE Seri Kembangan boleh tuntut baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 1,331 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan boleh menuntut baucar Jom Shopping di pusat khidmat mulai hari ini.

Wakil rakyatnya Ean Yong Hian Wah berkata baucar bernilai RM100 itu khusus buat warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) berusia 21 tahun ke atas yang lahir pada Oktober hingga Disember.

“Mereka yang berdaftar boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Seri Kembangan hari ini untuk menuntut dan mula membeli-belah di pasar raya Grand Union Seri Kembangan pada 19 sehingga 30 November.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima dan menceriakan sambutan ulang tahun kelahiran mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Penerima boleh membuat semakan melalui laman sesawang http://smue.yawas.my/admin/online_semakan.php.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian yang dihentikan pada Mei 2019 disambung semula.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima bantuan RM500.

Kerajaan Negeri juga menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE.

 


Pengarang :