AGENDABERITA UTAMANASIONAL

14,000 murid Kafa dapat subsidi yuran RM30

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 14,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan (B40) akan menerima manfaat subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) berjumlah RM30 sebulan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Menyedari akan kepentingan institusi Pendidikan Kafa di Selangor, buat julung kalinya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta secara one-off untuk meringankan beban ibu bapa dengan pemberian subsidi yuran Kafa berjumlah RM30 sebulan.

“Ini akan memberi manfaat kepada 14,000 murid B40 di 296 institusi Kafa seluruh Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, inisiatif itu juga sebagai galakan kepada masyarakat dalam menyediakan pendidikan Agama Islam bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menyempurnakan pembinaan tiga masjid pada tahun depan iaitu Masjid Kota Damansara 2 (Seksyen 9) dalam daerah Petaling, Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda (Klang) dan Masjid Kampung Sungai Serai 13 (Hulu Langat).

Menurutnya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk menaik taraf dan membina sekolah pendidikan Islam baru di Selangor bagi meningkatkan keselesaan pelajar.

“Sebanyak empat sekolah baru akan dibina iaitu Sekolah Rendah Agama Kota Kemuning, Sekolah Rendah Agama Bandar Saujana Putra, Sekolah Rendah Agama Bandar Teknologi Kajang dan Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1 di Hulu Selangor.

“Manakala, dua sekolah akan dinaik taraf iaitu Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 dan Sekolah Rendah Agama Seksyen 7 Shah Alam,” katanya.

 


Pengarang :