Ketua Biro Kesihatan Pekawanis Lim Bee Eng dan ADN Kinrara Ng Sze Han menyampaikan bantuan ubat, makanan tambahan kesihatan dan wang tunai kepada golongan memerlukan pada 31 Oktober 2021. Foto Pekawanis
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

20 pesakit kronik terima bantuan makanan tambahan kesihatan

SHAH ALAM, 4 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyumbang ubat dan makanan tambahan kesihatan kepada 20 pesakit kronik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Bantuan dikhususkan kepada penghidap buah pinggang, jantung dan kanser yang tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah (B40), kata ketua biro kesihatannya.

Lim Bee Eng menjelaskan sumbangan itu bagi meringankan penderitaan dan tekanan emosi dihadapi pesakit berikutan ada sebahagian mereka sudah lama terlantar di katil.

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pekawanis akan terus membantu golongan tidak berkemampuan di semua kawasan di Selangor melalui kerjasama pimpinan masyarakat untuk mengesan golongan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah Pekawanis yang diterajui Datin Seri Masdiana Muhamad dan wakil rakyat kawasan terbabit turut menghulurkan bantuan kewangan RM100 kepada 30 ibu tunggal berbangsa India sempena Deepavali.

“Ada antara mereka yang baru sahaja kehilangan suami disebabkan wabak Covid-19. Anak-anak pula kehilangan ayah dengan tiba-tiba. Tentunya Deepavali ini tidak mudah bagi mereka,” katanya.


Pengarang :