Orang ramai mengunjungi pameran kerjaya sempena Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 6 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

28 diterima kerja dalam Jelajah Selangor Bekerja Hulu Selangor

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 28 individu diterima bekerja dalam siri ketiga penganjuran Jelajah Selangor Bekerja di Hulu Selangor Sabtu lalu, maklum EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata sembilan majikan menawarkan peluang itu antaranya Safeguards G4S Sdn Bhd (tujuh), Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (lima), Finesse Moulding (M) Sdn Bhd (empat) manakala Continental Tyre PJ Malaysia Sdn Bhd, PHN Industry Sdn Bhd dan Peps-JV (M) Sdn Bhd masing-masing tiga.

Selain itu, katanya, Shin-etsu Polymer (M) Sdn Bhd, MFM Restaurants Sdn Bhd (The Manhattan Fish Market) dan JTekt Automotive (Malaysia) Sdn Bhd masing-masing satu.

“Diharap individu mendapat tempat dalam pasaran kerja meneruskan komitmen untuk bekerja bagi membantu menaik taraf ekonomi sekali gus mengurangkan kadar pengangguran membabitkan belia,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata seramai 95 daripada keseluruhan 143 peserta yang hadir program yang disertai 25 majikan itu layak untuk temu duga kedua.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

Lokasi seterusnya akan berlangsung di Hulu Langat pada 13 November diikuti Petaling (20 November) dan berakhir di Shah Alam (27 November).

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan http://www.selangorbekerja.com.my.


Pengarang :