Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor pada 29 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN
AGENDANASIONAL

30,000 buku diagih kepada pelajar, bantu ulang kaji sepanjang PKP

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri mengagihkan 30,000 buku modul pembelajaran bercetak secara percuma bermula April lalu menerusi program Tuisyen Rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu diberikan kepada pelajar tahun enam dan tingkatan lima untuk membantu mereka belajar sepanjang tempoh penutupan sekolah.

“Melalui program Tuisyen Rakyat Selangor, jumlah agihan sebanyak 20,000 naskah untuk pelajar tingkatan lima dan 10,000 naskah untuk pelajar tahun enam.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima buku ini dimanfaatkan sepenuhnya pelajar dalam tempoh penutupan sekolah. la membantu pelajar terus melatih tubi meskipun ada masalah internet dan peranti untuk belajar,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung program bantuan pelajar di sekolah rendah dan menengah pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Berhubung Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS), Amirudin berkata program itu adaptasi pengubahsuaian program dilaksana Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

“Kita jadikan ini sebagai program Kerajaan Negeri untuk dinaik taraf kepada beberapa kemudahan memiliki seperti komputer dan peranti yang diberikan kepada pelajar terutama kelompok B40.

“Tiada perbincangan rasmi diadakan bersama Kerajaan Pusat berhubung keperluan peranti tetapi kita ada sampaikan kepada ahli Parlimen dalam pertemuan tidak rasmi,” katanya.


Pengarang :