Model Rumah Idaman yang ditawarkan Kerajaan Negeri berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM250,000 seunit. Foto laman web Idaman Selangor
AGENDANASIONAL

30,000 unit Rumah Idaman untuk warga Selangor, harga mampu milik

SHAH ALAM, 3 NOV: Sekurang-kurangnya 30,000 unit Rumah Idaman bakal dibina, yang memberi pilihan kepada penduduk Selangor memiliki kediaman berkualiti pada harga mampu milik.

Menurut laman web idamanselangor.com.my, lapan projek dilaksana di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Puncak Alam.

Projek perumahan yang dibina termasuk Idaman Cahaya, Idaman Bukit Jelutong dan Idaman Elmina 4,5, dan 12 di Shah Alam manakala Idaman Kita dan Idaman Melur di Cybersouth.

Sementara Idaman Sari di Puchong, Idaman BSP (Bandar Saujana Putra) dan Idaman Perdana Puncak Alam.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan enam projek Rumah Idaman untuk membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijual dengan harga RM250,000.

Turut diberikan seunit televisyen, peti ais, penyaman udara serta kabinet selain dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan teknologi pasang siap yang mesra alam.

Lokasinya juga mudah diakses melalui lebuh raya selain berhampiran hospital, sekolah, universiti dan pengangkutan awam yang memberi nilai tambah dalam kehidupan.

Maklumat terkini berkaitan Rumah Idaman juga boleh dicapai melalui pautan www.platselangor.com.

 


Pengarang :