Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat gerai pameran selepas merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

40 syarikat pemula dapat dana bawah Program Pemecut Selangor

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Dianggarkan 40 daripada 120 syarikat pemula niaga menerima pembiayaan bawah Program Pemecut Selangor (SAP), kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata inisiatif kendalian Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut menyaksikan sebanyak 26 syarikat menyertai lawatan ke luar negara.

Jelasnya, syarikat terbabit yang cemerlang dalam Pitch@Selangor dan Hari Demo SAP melawat Beijing dan Hangzhou di China, Jakarta, Indonesia dan Silicon Valley di California.

“Jika keadaan mengizinkan, ‘moon shot’ Sidec’ akan berlangsung di Silicon Valley untuk berbincang dan mengambil bahagian dalam Persidangan Global Startup Grind pada Februari 2022.

“Selain itu, saya berharap mereka akan dapat terus melawat syarikat gergasi internet seperti Google, Amazon, Facebook dan Universiti Stanford,” katanya merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Acara bertemakan Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi itu bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021.

SAP menumpukan lima teras utama iaitu agriteknologi, teknologi kewangan, teknologi hijau, e-dagang dan penyelesaian bandar pintar merangkumi teknologi hartanah, mudah alih dan logistik.

Pada tahun ini, sebanyak 30 syarikat pemula dipilih menyertai program itu bagi melonjakkan perniagaan yang dibiayai Kerajaan Negeri.


Pengarang :