Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika sesi penggulungan soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 23 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

4,186 pegawai perubatan dilantik ke jawatan tetap tahun depan

SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilantik ke jawatan tetap tahun depan.

Menteri kesihatan berkata lantikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam membabitkan 3,586 pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta farmasi, lapor Berita Harian.

“Perkara itu selaras keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai membabitkan pegawai lantikan kontrak yang sudah melengkapkan latihan khidmat wajib dua tahun.

“(Kemudian) disambung dua tahun lagi demi kesinambungan perkhidmatan dan persediaan pengajian kepakaran untuk pegawai terbabit,” kata Khairy Jamaluddin menambah ia menelan kos RM377.48 juta.

Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah kerajaan menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 2 November, Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata mogok kedua akan diadakan di seluruh negara berikutan lantikan tetap mereka dalam KKM masih belum selesai.

Rancangan tunjuk perasaan itu hadir selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 yang tidak menyebut lantikan tetap mereka dalam kerajaan.


Pengarang :