DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan mengurniakan darjah kebesaran ketika Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-75 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 27 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

57 individu dikurnia darjah, bintang kebesaran Sultan Selangor

KLANG, 27 NOV: Ahli Dewan Diraja Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda mengetuai senarai 57 penerima pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-75 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini.

Beliau menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K II) yang dikurniakan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini pagi tadi.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Ahli Dewan Diraja Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 27 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain pula dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ Setia pula dikurniakan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Seramai 10 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran-Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Ketua Polis Selangor Dato’ Noor Azam Jamaludin; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada 16 individu antaranya dua penerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 iaitu Ketua Jabatan Perubatan Am dan Pakar Perunding Perubatan Hospital Sungai Buloh Dr C Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anaestesia dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh Dr Shaiful Azman Zakaria.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 26 orang penerima.

Turut berkenan berangkat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tiada sebarang istiadat sempena Hari Keputeraan baginda ke-75 pada 11 Disember ini berikutan penularan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penangguhan Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bergantung kepada situasi semasa pandemik.


Pengarang :