Keadaan di Taman Tanjung Bendahara, Alor Setar, Kedah yang dinaiki air susulan limpahan air Sungai Kedah ketika tinjauan di kawasan itu pada 4 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

5,900 sukarelawan pasukan tindak balas kecemasan siap siaga hadapi banjir

MERSING, 6 NOV: Seramai 5,900 anggota sukarelawan Pasukan Tindak balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Keluarga Malaysia di seluruh negara, sedia untuk digerakkan sebagai persediaan  menghadapi musim Monsun Timur Laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kesemua sukarelawan yang bertindak sebagai penggerak balas pertama itu meliputi 162 kawasan Parlimen di negara ini.

“Kita sekarang dalam proses persediaan untuk berhadapan dengan fenomena Monsun Timur Laut yang sudah bermula hingga Mac tahun depan. Berdasarkan pengalaman kita yang lepas, November, Disember ini dan Januari tahun depan adalah waktu kritikal fenomena itu berlaku.

“Sehubungan itu, dengan sukarelawan CDERT yang ada ini mereka dapat digerakkan untuk membantu jika sebarang kemungkinan berlakunya bencana,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Penubuhan CDERT Keluarga Malaysia Parlimen Mersing, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Datuk Roslan Wahab.

Beliau berkata kerajaan turut menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen mempunyai CDERT sebelum penghujung tahun depan.

“Buat masa ini untuk menjadi sukarelawan CDERT tiada kriteria, mereka akan diberikan latihan terlebih dahulu serta turut menerima elaun daripada kerajaan,” katanya sambil menambah terdapat 594 sukarelawan CDERT meliputi 12 kawasan Parlimen di Johor setakat ini.

CDERT yang ditubuhkan pada 2006 antara lain berperanan membantu mengurangkan kesan terhadap sesuatu kes kecemasan atau bencana seperti banjir di peringkat awal.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :