Penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada di pekarangan Dewan Rakyat bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sidang khas Parlimen pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

84 kes positif dikesan sepanjang sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Sebanyak 84 kes positif Covid-19 dikenal pasti hasil saringan berkala yang dijalankan sepanjang persidangan Parlimen sejak 27 Okt lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 18 kes dikenal pasti hasil saringan prapersidangan Dewan Rakyat pada 22 hingga 25 Okt dan tindakan kawalan serta pencegahan telah dijalankan.

“Kesemua kes telah diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes-kes tersebut tiada kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan sebanyak 41 kes pula dilaporkan antara 27 Okt  hingga 28 Nov lepas dan semua kes tersebut telah diasingkan dengan segera serta tiada kluster dilaporkan manakala 25 kes dikesan melalui saringan berkala semalam.

Katanya, kes yang dikenal pasti itu mempunyai kadar kebolehjangkitan dengan nilai kitaran ambang (CT) Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) antara 13.70 hingga 36.11.

Dr Noor Hisham menjelaskan setakat ini, semua sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom dan masih menunggu keputusan penuh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenal pasti punca jangkitan bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

Beliau juga menasihati supaya individu yang hadir ke Parlimen terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan sekiranya bergejala dinasihatkan agar tidak hadir ke Parlimen, menjalani ujian saringan COVID-19 dan segera mendapatkan rawatan.

Persidangan Dewan Rakyat kini sedang berlangsung sejak 27 Okt hingga 23 Dis 2021.

Pihak Parlimen bersama Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan saringan berkala sepanjang persidangan bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

— BERNAMA

 


Pengarang :