Warga asing turut menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sijangkang di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru pada 8 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

98.2 peratus kes baharu Covid-19 kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sebanyak 98.2 peratus atau 5,654 daripada keseluruhan 5,755 kes baharu Covid-19 dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua, masing-masing tidak bergejala serta bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 101 kes atau 1.8 peratus pula adalah kategori tiga, empat dan lima iaitu mereka yang mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini 2,602,835 selepas 5,654 kes baharu direkodkan, meningkat sedikit berbanding 5,594 kes semalam.

“Sebanyak 506 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 270 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak lapan kluster baharu dikenal pasti hari ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 234.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata negara kini merekodkan nilai 1.0 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.14 dan nilai sifar direkodkan di Labuan.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA

 


Pengarang :