Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: Belanjawan #Selangor2022 terus bela nasib rakyat

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri terus membela nasib rakyat apabila Belanjawan #Selangor2022 banyak memfokuskan program kebajikan dan pembangunan infrastruktur.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang berkata perkara itu sering dinanti masyarakat dan sudah pasti ia disokong dalam membantu ekonomi rakyat.

“Antara yang dinantikan tambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) yang jumlah bantuan serta penerima ditambah.

“Mungkin ada penambahbaikan dan ada cadangan daripada pihak ADN bagi memantapkan lagi belanjawan dibentang dalam sesi perbahasan nanti,” kata Azmizam Zaman Huri.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Dalam pada itu, ADN Morib pula menyambut baik peruntukan untuk kerja pembinaan jalan baharu iaitu jalan sambungan Sungai Kelambu – Genting Sanyen, Kuala Langat berjumlah RM10 juta.

“Jalan baharu ini perlu untuk pembangunan di kawasan tersebut dan memudahkan penduduk. Banyak peruntukan yang terus membela nasib rakyat dan dinaik taraf berbanding sebelum ini terutama berkaitan kesihatan serta anak muda,” kata Hasnul Baharuddin.


Pengarang :