ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN harap bantuan diagih seimbang buat warga bandar, desa

SHAH ALAM, 25 NOV: Wakil rakyat negeri ini berharap peruntukan Belanjawan #Selangor2022 diagih secara seimbang kepada penduduk dalam dan luar bandar.

Cadangan bersifat menyeluruh berdasarkan demografi perlu dibuat bagi memastikan setiap rakyat menikmati hasil negeri, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang.

“Kita tahu inisiatif, kebajikan yang diberikan kepada rakyat mestilah diteruskan tetapi ketika ini terdapat kuota tertentu mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya rasa ia perlu ditambah baik, sesiapa yang layak perlu diberikan (inisiatif) meski melebihi kuota,” kata Datuk Mohd Imran Tamrin dalam bual bicara yang disiarkan di Facebook Media Selangor.

Beliau mendakwa masalah itu berlaku berikutan kuota bantuan diagihkan mengikut pengundi, bukan bilangan populasi bagi setiap DUN.

Jelasnya, kaedah itu merumitkan pemberian yang memanfaatkan rakyat sedangkan fokus utama belanjawan adalah memulihkan semula ekonomi pascawabak Covid-19.

“Sesiapa sahaja yang layak dan menepati kriteria mesti diberi secara saksama, tidak boleh DUN itu ada kuota tertentu,” kata Mohd Imran.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor esok menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pascapandemik.

Turut ditekankan ialah menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.


Pengarang :