Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) dan isteri Datin Masdiana Muhamad (dua, kiri) menyerahkan duit raya kepada kanak-kanak ketika meninjau persiapan sambutan Deepavali di Little India, Klang pada 2 November 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Agihan baucar Jom Shopping Deepavali buat B40 hampir selesai

KLANG, 2 NOV: Hampir semua masyarakat India memerlukan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima baucar beli-belah Jom Shopping RM100 sempena Deepavali.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap DUN menerima antara 400 hingga 600 baucar bagi membantu golongan berkenaan membeli barang keperluan di pasar raya terpilih.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif yang diperkenal sejak 2010 dibuat setiap tahun termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

“Sekarang (agihan) sedang berjalan dan difahamkan hampir selesai dengan DUN Sentosa merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu lebih 600 orang,” katanya selepas meninjau Little India Klang di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan menggantikan baucar beli-belah kepada wang tunai akan dipertimbang dalam Belanjawan Selangor yang dibentangkan pada 26 November ini.

“Itu semua mungkin boleh dipertimbang dalam belanjawan nanti. Saya ada masa untuk melihat secara menyeluruh bagaimana bantuan dan sokongan yang ingin disampaikan,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat mengikut komponen utama kaum dan perayaan masing-masing.


Pengarang :