Wakil Mais menyerahkan bantuan makanan kepada golongan terkesan di Petaling, Sabak Bernam, Klang dan Kuala Selangor pada 27 Ogos 2021. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Agihan fidyah Mais bantu puluhan ribu keluarga terkesan pandemik

SHAH ALAM, 3 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM5.1 juta kepada golongan memerlukan mulai Januari hingga Oktober lalu.

Sebanyak RM3.26 juta dibelanjakan bagi menyediakan keperluan asas seperti beras, susu, tepung, gula dan minyak masak yang memanfaatkan 32,618 individu, kata setiausahanya.

Sementara bantuan tunai RM1.9 juta disalurkan kepada 4,222 Orang Asli yang menerima RM200 setiap seorang dan RM500 bagi ahli Gabungan Teksi Se’Malaysia, jelas Dr Ahmad Shahir Makhtar.

“Sebagai organisasi Islam yang prihatin, Mais membantu 36,840 keluarga terkesan Covid-19 terutama berpendapatan rendah dan mereka yang dibuang kerja.

“Turut menerima bantuan ialah individu cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau hilang punca pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shahir berharap bantuan itu meringankan beban setiap keluarga terkesan dan memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

Sumbangan dibuat dengan kerjasama rakan strategik agihan fidyah Mais iaitu Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, pertubuhan Islam bukan kerajaan, masjid dan surau.

Mereka yang ingin membayar fidyah boleh melayari laman sesawang www.mais.gov.my atau bayaran menerusi http:fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.


Pengarang :