Selangorkini
Jururawat Aina Syafiqa Azli memasukkan vaksin Covid-19 ke dalam picagari sebelum melakukan suntikan kepada penerima ketika tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Sime Darby Plantation, Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen belum dapat dos penggalak terima suntikan esok

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada ahli parlimen yang belum menerimanya akan diadakan esok di klinik Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata pemberian vaksin itu akan bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menghubungi klinik Parlimen untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat janji temu bagi penerimaan dos penggalak itu,“ katanya dalam pemakluman sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemberian dos penggalak kepada Ahli Parlimen pada 2 November lepas.

Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Oktober lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta.

-BERNAMA


Pengarang :