Selangorkini
ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (kiri) meninjau tapak pembinaan pangsapuri di Jalan Teratai, Klang yang menjadi antara punca banjir pada 1 November 2021. Foto Facebook Mohd Fakhrulrazi
ADN SELANGOR

Air pasang besar: Pemaju pangsapuri setuju buka laluan lama elak banjir

SHAH ALAM, 2 NOV: Pemaju projek pembangunan pangsapuri di Jalan Kenangan, Klang bersetuju membuka laluan lama di persimpangan berhampiran susulan fenomena air pasang besar yang dijangka Khamis ini.

Pembukaan semula persimpangan Jalan Teratai dan Jalan Kenangan membolehkan pembinaan parit konkrit sebagai penyelesaian isu banjir di kawasan sekitar, kata Ahli Dewan Negeri Meru.

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar menjelaskan melalui perbincangan semalam pihak terbabit juga bersetuju untuk melebarkan jalan di persimpangan berkenaan.

“Sebenarnya dari awal lagi saya minta agar projek pembangunan apartment itu dibatalkan kerana dibimbangi menambah masalah banjir, tetapi projek ini sudah diluluskan sejak 2016.

“Saya sudah minta pihak pemaju untuk pastikan masalah ini (banjir) tidak berulang dengan membuat sistem perparitan dan kolam tadahan bagi mengurangkan banjir di kawasan pembinaan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pembinaan pangsapuri berkenaan menjadi antara punca banjir yang menjejaskan kira-kira 500 keluarga sekitar Jalan Teratai termasuk Jalan Chempaka, Taman Daya dan Taman Meru Utama pada 30 Oktober lalu.

“Namun punca lain juga disebabkan kawasan itu paling rendah dan menjadi laluan utama air dari Setia Alam dan Fairy Park selain jarak ke laut jauh sekali gus mengambil masa untuk air surut,” katanya.


Pengarang :