Keadaan pesisir pantai di Kuala Langat terkawal meskipun berlaku limpahan susulan fenomena air pasang besar pada 6 November 2021. Foto JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN (JPS) KUALA LANGAT
AGENDANASIONALSELANGOR

Air pasang besar: Situasi di Kuala Langat terkawal meski berlaku limpahan air

SHAH ALAM, 6 NOV: Situasi di Kuala Langat terkawal meskipun beberapa kawasan mengalami hakisan kecil susulan fenomena air pasang besar yang memasuki hari ketiga.

Perkembangan itu hasil pemantauan dijalankan di beberapa kawasan bermula jam 6.10 hingga 7.30 pagi, lapor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat.

Lokasi meliputi Pantai Kelanang, Ban Sijangkang, Jalan Harmoni, Istana Pantai Bahagia, Pesisir Pantai Tanjung Sepat, Pantai Batu Laut, Pantai Morib, ban Kampung Kundang, pekan Tanjung Sepat dan Rumah Peranginan Persekutuan Morib.

“Limpahan berlaku di ban Batu 7, Batu 8 dan Sijangkang serta kesan hakisan di beberapa tempat, namun ban dalam keadaan terkawal.

“Limpahan air dan kesan hakisan turut berlaku di beberapa kawasan Pantai Pulau Carey dengan kerja pembaikan sedang berjalan,” maklum jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

JPS melaporkan terdapat limpahan air pada tebing ban Pantai Kelanang, namun dalam keadaan baik dan limpahan air memenuhi parit Dataran Kelanang itu memasuki ‘borrow pit’.

Menurutnya, situasi sama berlaku di Taman Harmoni dan kawasan parit pekan Tanjung Sepat, tetapi ban serta struktur saliran dalam keadaan baik.

“Terdapat juga limpahan di hadapan Istana Pantai Bahagia, ban Jalan Bandar, ban Sungai Ingat dan sekitar jeti Permatang Pasir,” tambah jabatan itu.

 


Pengarang :